Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Gimnastik artistik menjadi penyelamat kontinjen negara pada hari kedua Sukan SEA Thailand 2025 selepas menuai keseluruhan empat pingat termasuk sebutir emas di Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, Pathum Thani, hari ini.
Gimnas negara Rachel Yeoh memukau dengan persembahan cemerlang untuk merangkul emas acara palang bertingkat wanita selepas mengumpul 13.300 mata, sekali gus menjadi emas sulung kem gimnastik artistik negara pada edisi kali ini.
Ia juga emas tunggal kontinjen negara pada hari kedua dan emas ketiga keseluruhan selepas skuad hoki lelaki 5 sebelah dan trio poomsae berpasukan wanita mencipta sensasi semalam.
Pada masa sama, skuad gimnastik turut meraih perak melalui Luqman Al Hafiz Zulfa dalam acara senaman lantai lelaki dengan mengumpul 12.833 mata.
Dua gangsa lagi masing-masing disumbangkan Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dalam acara kekuda berpelana lelaki dan Yeap Kang Xian dalam acara melombol lelaki.
Sementara itu, di kolam renang Sports Authority of Thailand, dua rekod kebangsaan berjaya dileburkan masing-masing dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki.
Perenang muda negara Tong Yu Jing mencipta sejarah pada penampilan sulungnya dengan memecahkan rekod kebangsaan dan meraih gangsa acara 50m gaya bebas lelaki dengan masa 22.48 saat (s) sekali gus memadam rekod 22.91s yang dilakukan Bryan Leong di United Kingdom pada Mei tahun lepas.
Dalam acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti, kuartet kebangsaan dibarisi Khiew Hoe Yean, Terence Ng, Ananda Lim dan Arvin Shaun Singh menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 7:19.50s.
Catatan itu memadam rekod terdahulu 7:19.66s yang dipegang Hoe Yean, Arvin Shaun, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin pada Sukan Universiti Dunia 2025 di Berlin, Jerman, Julai lepas.
Selain itu, kem karate, taekwondo, jiujitsu dan waterski masing-masing turut menyumbang perak sekali gus menambah kutipan pingat dalam misi kontinjen negara mencapai sasaran 200 pingat tanpa mengira warna yang ditetapkan.
Dalam pada itu, jaguh 100m lelaki Thailand Puripol Boonson mencipta sejarah sebagai pelari pertama Asia Tenggara mencatatkan masa bawah 10 saat dengan melakukan 9.94s ketika saingan saringan untuk memecahkan rekod temasya 10.03s milik atlet Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.
Puripol kemudian merangkul emas dengan masa 10s, diikuti Lalu kedua (10.25s) dan atlet muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee membawa pulang gangsa dengan catatan 10.26s.
Setakat pukul 10 malam waktu tempatan (11 malam Malaysia), Thailand kekal menerajui carta pingat dengan mengumpul 41 emas, 24 perak dan 14 gangsa, diikuti Vietnam (14,8,27), Indonesia (13,20,13) manakala Malaysia di posisi keenam (3,12,21).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial