SUKAN > BERITA

NANI SAHIRAH CIPTA KEJUTAN RAIH EMAS LONTAR PELURU, LEBUR REKOD KEBANGSAAN

12/12/2025 08:59 PM

 

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah  Maryata  mencipta kejutan di Sukan SEA Thailand 2025 apabila merangkul pingat emas sambil memperbaharui rekod kebangsaan pada aksi final di Stadium Suphachalasai di sini, hari ini.

Nani Sahirah mengungguli saingan selepas mencipta catatan yang sukar digugat lawan ketika lontaran kedua iaitu 16.36 meter (m) untuk mengesahkan emas, sekali gus memadam rekod kebangsaan 15.39m yang dilakukan beliau pada kejohanan olahraga Terbuka Perlis tahun lepas.

Atlet tuan rumah Areerat Intadis terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 16.04m manakala wakil Vietnam Huyen Thi Kim membawa pulang gangsa dengan catatan 15.92m.

Kejayaan Nani Sahirah menyaksikan atlet berusia 24 tahun itu berjaya memperbaiki pencapaian gangsa diraihnya ketika membuat penampilan sulung Sukan SEA di Kemboja, dua tahun lalu.

Terdahulu, kem olahraga negara turut ceria selepas jaguh baling tukul besi wanita, Grace Wong Xiu Mei menghadiahkan emas pertama kem olahraga negara pada sesi pagi.

Sementara itu, kem olahraga menuai sebutir gangsa selepas Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif menamatkan acara 110m lari berpagar di tempat ketiga dengan menyamai masa peribadi terbaiknya 13.85 saat (s).

Emas menjadi milik John Christopher Tolentino dari Filipina dengan masa 13.66s, yang juga merupakan rekod baharu temasya, manakala Chen Xiang Ang dari Singapura meraih perak selepas mencatat 13.75s.

Dalam pada itu, Malaysia gagal mempertahankan emas dalam acara 400m lelaki selepas penyandang juara Umar Osman sekadar menamatkan final di tempat kelima dengan catatan masa 47.13s.

Kilauan emas dimenangi Joshua Robert Atkinson dari Thailand selepas menjadi atlet pertama melintasi garisan penamat dengan masa 45.13s, diikuti Ta Ngoc Tuong dari Vietnam di tempat kedua (45.53s) dan Le Ngoc Phuc ketiga dengan catatan 46.21s.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan