Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Kejayaan atlet baling tukul besi wanita negara Grace Wong Xiu Mei merangkul pingat emas dan memecahkan rekod temasya sebanyak empat kali pada Sukan SEA 2025 di sini adalah pencapaian besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Karim Ibrahim berkata kejayaan Grace yang memecahkan rekod dan mencatatkan balingan melebihi jarak 65 meter (m) membuktikan atlet itu memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata MA akan membawa perkara itu ke perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) bagi merangka satu program terbaik untuk Grace dengan sasaran jangka sederhana merangkumi Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026 sebelum menyasarkan Kejohanan Dunia pada 2027.
“Ini satu pencapaian (yang jarang) di peringkat Sukan SEA dan juga Asia. Beliau (Grace) telah memecahkan rekod sebanyak empat kali dan terus mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 (64.14m), jadi kami ada perancangan khas untuk beliau supaya mewakili Malaysia pada Sukan Asia.
“Kami masih ada masa dan beliau ada dua kejohanan besar iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Saya yakin pada 2027 beliau mampu beraksi pada Kejohanan Dunia. Bagi saya, ini satu kejutan bukan sahaja kepada Sukan SEA tetapi negara-negara Asia,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Pada saingan di Stadium Suphachalasai semalam, Grace menampilkan aksi luar biasa apabila memenangi pingat emas dan membaharui rekod temasya sebanyak empat kali.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 25 tahun itu memulakan aksi dengan balingan sejauh 63.34m untuk memadam rekod temasya miliknya 61.87m, yang dicipta pada edisi 2023 di Kemboja.
Beliau kemudian mencipta rekod baharu temasya dan memadam rekod kebangsaan 63.53m yang dilakukannya pada kejohanan Olahraga Malaysia di Kangar, Perlis pada Ogos lepas setelah melakukan 63.83m dalam balingan kedua.
Percubaan ketiga beliau menghadiahkan satu lagi rekod temasya dan kebangsaan dengan catatan 65.09m sebelum Grace melengkapkan dominasi dengan lontaran keempat 65.41m untuk sekali lagi membaharui kedua-dua rekod itu dan membantunya mengesahkan kilauan emas.
Kejayaan semalam adalah emas keempat Grace dalam acara baling tukul besi pada Sukan SEA selepas meraihnya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.
Karim berkata sebagai penghargaan, MA akan memberikan imbuhan berjumlah RM4,000 kepada Grace atas pencapaian itu.
Mengulas mengenai program latihan Grace di China, Karim berkata program itu akan diteruskan memandangkan pendedahan terhadap kejohanan dan atlet bertaraf dunia di negara itu amat penting untuk perkembangan prestasi atlet.
“Apabila kita ada pencapaian dan keputusan yang baik, tidak salah untuk diteruskan. Saingan di China sangat kompetitif dan bertaraf dunia, jadi kami mahu teruskan latihan di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Karim berkata MA turut komited mencari jalan penyelesaian bagi memastikan sokongan menyeluruh kepada Grace dan atlet lain, termasuk menghantar mereka ke beberapa kejohanan antarabangsa yang relevan, dengan sasaran memecahkan rekod lebih awal sama ada pada Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan SEA 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial