SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: TANG JIE-EE WEI TUMPAS KEPADA PASANGAN THAILAND, GAGAL KE FINAL

13/12/2025 01:10 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Hasrat Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara beregu campuran pada Sukan SEA 2025 tidak kesampaian selepas pasangan pilihan utama dan juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas pada aksi separuh akhir di Pathum Thani hari ini.

Beregu nombor satu negara itu tewas 15-21, 16-21 kepada pilihan keempat dan pasangan tuan rumah Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dalam tempoh 44 minit di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat.

Walaupun tampil sebagai pilihan utama, Tang Jie-Ee Wei gagal menangkis tekanan berterusan daripada pasangan Thailand itu, sekali gus mencatatkan kekalahan pertama mereka kepada lawan berkenaan selepas memenangi ketiga-tiga pertemuan terdahulu.

Ee Wei mengakui mereka gagal menerapkan corak permainan sendiri dan bergelut mengurus tekanan pada perlawanan itu.

“Kami sememangnya sudah cukup sedia hadapi perlawanan ini namun saya rasa pasangan Thailand lebih banyak beri tekanan kepada kami, sebab itu kami agak bergelut.

“Kami akui kami belum sampai tahap maksimum lagi. Walaupun orang cakap kami dapat gelaran Kejuaraan Dunia tapi kami belum sampai tahap boleh hadapi tekanan dengan baik. Kami masih dalam proses belajar,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Tang Jie, yang pernah memenangi emas bersama Peck Yen Wei pada edisi 2021, meluahkan kekecewaan terlepas peluang ke final, sambil mengakui masih sukar menghadam apa yang tidak menjadi dalam perlawanan penting itu.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan