SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: MALAYSIA KEKAL REKOD TANPA KALAH REALISASI IMPIAN EMAS T20 LELAKI

13/12/2025 06:56 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Pasukan kriket Malaysia merangkul pingat emas pertama dalam acara T20 lelaki pada Sukan SEA 2025 di sini hari ini.

Malaysia mengesahkan pingat emas selepas muncul juara pertandingan diadakan secara liga satu pusingan, hasil kemenangan enam wiket ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Padang Kriket Terdthai.

Kemenangan itu adalah keempat Malaysia daripada empat perlawanan, sekali gus mengutip lapan mata penuh untuk memenangi pingat emas, selepas sekadar meraih perak pada edisi 2017 dan 2023.

Malaysia yang membuat balingan terlebih dahulu berjaya menyekat Singapura kepada 110 larian dalam 19.3 over sebelum selesa memburu sasaran itu dengan 111 larian dalam 11.4 over.

Malaysia memulakan kempen dengan bergaya menerusi kemenangan 114 larian ke atas Filipina pada Selasa lepas, diikuti kemenangan tujuh wiket menentang Indonesia sehari kemudian.

Mereka kemudian menewaskan tuan rumah Thailand dengan lapan wiket semalam.

Sementara itu, Filipina meraih pingat perak selepas menamatkan saingan di tempat kedua dengan enam mata manakala juara 2017 Singapura terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengutip empat mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan