SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: SATU TIDAK CUKUP, KAMI MAHU SATU LAGI EMAS - VIRANDEEP

13/12/2025 08:47 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Kejayaan memenangi pingat emas sulung Malaysia dalam acara kriket T20 lelaki, membangkitkan lagi semangat pasukan kami untuk menambah koleksi pingat di Sukan SEA Thailand 2025, kata naib kapten pasukan kebangsaan Virandeep Singh.

Malaysia meraih pingat emas selepas muncul juara dalam pertandingan berformat liga tunggal itu, susulan kemenangan enam wiket ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir kumpulan di Padang Kriket Terdthai, sekali gus memenangi keempat-empat perlawanan untuk mengumpul lapan mata.

Walaupun mengalami sakit kepala, Virandeep yang memainkan peranan penting dengan melakukan 65 larian berkata sasaran kini tertumpu untuk menambah satu lagi pingat emas dalam acara T10 lelaki, yang akan bermula Isnin.

“Saya gembira kami berjaya melepasi cabaran dan memenangi pingat emas untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir.

Beliau turut berkata pendedahan bermain dalam liga luar negara, telah banyak membantunya mempelajari cara mengawal perasaan gugup, kekal tenang dan beraksi dengan baik dalam situasi dengan tekanan tinggi, sesuatu yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada kriket Malaysia secara keseluruhan.

Pemain yang pernah beraksi dalam liga di Nepal, Kanada dan Kepulauan Cayman itu percaya pengalaman sedemikian telah meluaskan pemahamannya terhadap permainan di bawah pelbagai keadaan.

“Saya berasa amat bersyukur diberikan peluang untuk bermain bersama pemain-pemain berbakat. Saya berharap dunia sedang menyaksikan dan para pemain akan mendapat peluang untuk ke luar negara serta menyertai liga di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Vijayalingam Vythilingam memberitahu Bernama bahawa pasukan telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan bekerja keras untuk meraih pingat emas tersebut.

Rekod tanpa kalah Malaysia bermula dengan kemenangan besar 114 larian ke atas Filipina Selasa lepas, diikuti kemenangan tujuh wiket ke atas Indonesia keesokan harinya, kemenangan lapan wiket ke atas tuan rumah Thailand semalam dan akhirnya kemenangan hari ini ke atas Singapura.

Filipina menduduki tempat kedua dalam kedudukan liga untuk meraih pingat perak, manakala juara 2017 Singapura, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengumpul empat mata.

Sebelum ini, Malaysia memenangi pingat perak pada edisi 2017 dan 2023.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan