SUKAN > BERITA

LATIHAN INTENSIF BERBALOI, TRIO WUSYU WANITA NEGARA JULANG EMAS SUKAN SEA 2025

13/12/2025 09:09 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Trio wusyu wanita negara Lo Ying Ting, Mandy Cebelle Chen dan Sydney Chin Sy Xuan mencipta sensasi pada Sukan SEA 2025 selepas dinobatkan selaku pemenang pingat emas acara Duilian (tanpa senjata) hari ini.

Pada aksi berlangsung di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana di sini, tiga wakil negara itu mempamerkan gerakan formasi yang mantap bagi memukau juri dengan meraih kutipan tertinggi 9.633 mata menewaskan pesaing daripada tiga negara lain.

Pingat perak dimenangi Indonesia apabila meraih 9.620 mata manakala Filipina membawa pulang pingat gangsa dengan kutipan 9.590 mata.

“Kami menjalani latihan bermula Jun lepas bersama-sama, biarpun menjalani tiga sesi latihan intensif sehari. Usaha itu ternyata membuahkan hasil sehingga menghadiahkan pingat emas ini.

“Sangat gembira dengan pencapaian emas pertama buat sukan wusyu pada temasya kali ini,” kata Mandy ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, trio negara Si Shin Peng, Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting terlepas peluang untuk menaiki podium dalam acara Dulilian (bersenjata) pada hari pertama pertandingan wusyu.

Ketiga-tiga atlet berkenaan mempamerkan aksi terbaik dalam usaha mengumpul mata tertinggi, namun hanya meraih 9.716 mata, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Pingat emas dimenangi wakil tuan rumah Thailand, diikuti Indonesia yang meraih perak manakala Brunei membawa pulang pingat gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan