Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Atlet pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee sekali lagi menaiki podium pada penampilan sulung di Sukan SEA, selepas berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 200 meter (m) lelaki pada saingan final temasya edisi ke-33 itu di sini, malam ini.
Lebih manis, catatan 20.73 saat (s) yang dilakukannya membolehkan beliau memadam rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Taib, yang dicipta pada Kejohanan Trek Klasik Queensland 2019 di Australia.
Pada perlumbaan di Stadium Suphachalasai, Danish mempamerkan larian memberangsangkan untuk memberikan saingan hebat sehingga ke garisan penamat, menyaksikan beliau hanya dipisahkan 0.01s dengan pemenang pingat perak Marc Brian Louis dari Singapura, yang melakukan 20.72s.
Pingat emas menjadi milik jaguh tuan rumah Puripol Booson selepas menjadi yang terpantas melintasi garisan penamat dengan masa 20.07s, sekali gus memadam rekod temasya miliknya 20.37 yang dilakukan pada edisi 2021 di Vietnam.
Ketika ditemui pemberita selepas aksi final, Danish menzahirkan rasa syukur dengan pencapaiannya dan berazam untuk terus meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi.
“Tidak sangka untuk pecahkan rekod, tetapi saya berjaya lakukannya dan ia merupakan masa peribadi terbaik saya. Bagi saya (pencapaian ini) dah sangat bersyukur, dapat naik podium (kali kedua) pada penyertaan kali pertama Sukan SEA.
“Dalam perlumbaan hari ini saya kekal dengan nasihat ibu bapa saya iaitu banyakkan berselawat, berzikir dan fokus kepada diri sendiri, kerana sebenarnya saya berlawan dengan diri sendiri untuk jadi yang terbaik,” kata atlet kelahiran Johor berusia 18 tahun itu.
Sementara itu, mengulas peluang berlumba sebanyak tiga kali bersama Puripol di sini termasuk dalam saringan dan final 100m, raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu menyifatkan ia sebagai pengalaman berharga dalam kariernya.
“Kalau ada rezeki selepas ini saya akan cuba berikan lebih saingan kepadanya (Puripol) dan sedaya upaya pergi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sebagai rekod, Danish Iftikhar berjaya menaiki podium dalam acara 100m selepas merangkul gangsa pada Khamis.
Dalam pada itu, pelari pecut wanita negara Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal mengakhiri final 200m di kedudukan ketujuh dengan masa 24.52s.
Emas disambar atlet Singapura Veronica Shanti Pereira dengan catatan 23.05s, diikuti Thi Cam Tu Le kedua (23.14s) dan wakil Filipina Zion Rose Nelson ketiga selepas merakam 23.50s.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial