SUKAN > BERITA

JONAH BELUM PUAS HATI WALAUPUN CIPTA REKOD BAHARU SUKAN SEA

13/12/2025 10:35 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Pemenang pingat emas lontar peluru lelaki Sukan SEA Thailand 2025 Jonah Chang Rigan mengakui perasaannya bercampur-baur meskipun berjaya memecahkan rekod temasya dan kebangsaan dalam penampilan cemerlangnya di Stadium Suphachalasai di sini, malam ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata pencapaian memenangi emas dan memecahkan kedua-dua rekod merupakan sasaran utamanya, namun masih belum berpuas hati dengan prestasi ditampilkan kerana gagal  melepasi lontaran 19 meter (m). 

Jonah berkata kegagalan mencapai jarak tersebut bukan disebabkan faktor kecergasan sebaliknya berpunca daripada aspek teknikal yang masih perlu diperbaiki.

“Saya bersyukur kerana dapat cipta rekod Sukan SEA dan kebangsaan, itu memang sasaran utama tetapi saya tidak dapat capai sasaran kedua iaitu jarak 19m. Saya gembira dan sedih dalam masa yang sama.

“Pada final hari ini saya rasa badan saya sihat, cuma teknik saya sedikit teruk. Saya cuba masuk (untuk buat lontaran) lebih cepat dan intense tetapi pergerakan badan tidak menjadi seperti yang saya mahukan,” katanya ketika ditemui selepas saingan final di sini.

Pada saingan hari ini, Jonah mengesahkan kilauan emas selepas melakukan lontaran sejauh 18.78m dalam percubaan ketiga, sekali gus memadam rekod temasya 18.38m milik atlet Filipina William III Edward Morrison yang dicipta pada edisi 2019 di Filipina.

Catatan dilakukan beliau yang membuat penampilan kedua di Sukan SEA itu juga memadam rekod kebangsaan miliknya 18.46m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang tahun lepas.

Pingat perak acara itu diraih atlet tuan rumah Silamool Thongchai dengan lontaran 16.80m sementara gangsa menjadi milik Morrison.

Kejayaan Jonah meraih emas menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu berjaya memperbaiki pencapaian tempat keempat pada debut Sukan SEA di Kemboja dua tahun lepas.

Mengulas perancangan seterusnya, Jonah berkata fokus utama beliau kini untuk meningkatkan prestasi bagi menghadapi cabaran lebih besar, termasuk memburu pingat di Sukan Asia 2026 yang menurutnya memerlukan catatan sekitar 19.50m.

“Untuk tahun depan, saya perlu lebih fokus kepada latihan, semuanya perlu lebih serius,” katanya.

Sebagai rekod, emas diraih Jonah turut menamatkan kemarau panjang kem olahraga negara dalam acara lontar peluru lelaki apabila Malaysia kali terakhir meraih emas lebih tiga dekad lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan