SUKAN > BERITA

SOKONGAN PADU KERAJAAN KEPADA SEPAK TAKRAW BUAHKAN HASIL CUKUP MEMBANGGAKAN - HANNAH

15/12/2025 12:00 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Sokongan padu kerajaan kepada sukan sepak takraw negara membuahkan hasil cukup membanggakan apabila membantu mereka menamatkan kemarau emas regu berpasukan lelaki yang berlarutan selama 34 tahun pada Sukan SEA 2025 semalam.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sokongan padu itu terbukti membina ekosistem sukan warisan berkenaan termasuk penganjuran liga tempatan yang mantap, pembinaan Akademi Sepak Takraw Malaysia dan melicinkan pentadbiran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Beliau juga gembira dapat melihat skuad sepak takraw negara berjaya melunaskan misi yang dilihat mustahil menumbangkan musuh tradisi Thailand 2-1 di hadapan penyokong tuan rumah pada perlawanan akhir di Gimnasium Nakhon Pathom, Chonburi.

“Ini adalah penantian 34 tahun dan saya betul-betul gembira kerana mereka telah berusaha dengan bagus. Walaupun tuan rumah Thailand dan mereka tidak dijangkakan boleh menang pingat emas tetapi mereka telah melakukannya.

“Ini menunjukkan tahap kesihatan ataupun ketahanan mental mereka begitu baik. Bagi pihak negara, kami mengucapkan terima kasih kepada pasukan sepak takraw kerana berjaya mengatasi segalanya untuk bawa balik pingat emas kepada Malaysia,” katanya di sini.

Kerajaan sebelum ini menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan besar bagi pembangunan sepak takraw melalui pelbagai skim termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti, masing-masing berjumlah RM9 juta pada 2023, RM8 juta pada 2024 dan RM6 juta tahun ini.

Penyaluran RM6 juta tahun ini melibatkan kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Hannah percaya masih banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan bagi membina skuad badminton yang mantap susulan pencapaian mereka yang tidak berjaya menepati sasaran empat emas dilaungkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.

Skuad badminton negara hanya berjaya membawa pulang satu emas menerusi beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah selain dua perak dan enam gangsa.

Beliau berkata usaha jitu perlu dilakukan terhadap sukan yang menawarkan jumlah pingat banyak dalam temasya iaitu olahraga dan renang bagi memastikan Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan kuasa besar lain.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan