Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Olahraga Malaysia (MA) menetapkan sasaran untuk memastikan kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara layak dan mampu memberi saingan kompetitif pada Kejohanan Olahraga Lari Berganti-Ganti Dunia pada masa hadapan.
Presiden MA Datuk Karim Ibrahim berkata badan induk olahraga itu kini memberi tumpuan kepada pembentukan kuartet paling mantap untuk dihantar ke kejohanan berprestij itu.
“Apabila melihat pencapaian Danish (Danish Iftikhar Muhammad Roslee) yang mencatat 10.18 saat (s) pada usia 18 tahun, ia satu petanda positif.
“Dengan Azeem (Muhammad Azeem Mohd Fahmi) dan Danish serta dua atau tiga atlet lain yang akan dikenal pasti, kami akan melakukan persiapan sebaik mungkin bagi memastikan kuartet negara beraksi pada Kejohanan Olahraga Lari Berganti-Ganti Dunia,” katanya kepada Bernama di sini.
Semalam, kuartet 4x100m dibarisi pelari senior Jonathan Nyepa dan tiga atlet muda iaitu Danish Iftikhar, Alif Iman Mohd Fahimi dan Pengiran Aidil Auf Hajam berjaya meraih pingat perak Sukan SEA 2025 dengan memperbaharui rekod kebangsaan di Stadium Suphachalasai di sini.
Kuartet negara itu mencatat masa 39.03s untuk memadam rekod kebangsaan 39.09s yang dicipta kuartet Muhammad Azeem, Muhammad Arsyad Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.
Pingat emas menjadi milik tuan rumah Thailand dengan catatan 38.28s, yang juga rekod baharu temasya manakala kuartet Indonesia melengkapkan podium dengan kilauan gangsa (39.51s).
Kejohanan Olahraga Lari Berganti-Ganti Dunia adalah pertandingan berpasukan dwitahunan yang dianjurkan oleh Olahraga Dunia sejak 2014, menghimpunkan pasukan lari berganti kebangsaan dalam siri acara yang turut berfungsi sebagai laluan kelayakan utama ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.
Kejohanan ini mempertandingkan acara lari berganti Olimpik termasuk 4x100m lelaki dan wanita, 4x400m lelaki dan wanita serta 4x400m campuran, serta 32 pasukan bersaing dalam setiap disiplin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial