SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: PINGAT GANGSA JADI PENUTUP KARIER JOE EE

16/12/2025 10:40 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Pemenang pingat emas gimrama Sukan Komanwel sebanyak dua kali, Ng Joe Ee, menamatkan kariernya sebagai gimnas negara dengan memperoleh pingat gangsa dalam acara individu all-around pada Sukan SEA Thailand 2025 di Pathum Thani, hari ini.

Joe Ee mengumpul keseluruhan 96.890 mata selepas melengkapkan keempat-empat apparatus – gelung, bola, belantan dan reben – pada perlawanan akhir di Gimnasium 5, Thammasat University Rangsit Campus.

Atlet berusia 20 tahun itu berkongsi gangsa dengan gimnas Thailand Piyada Peeramatukorn, manakala wakil Filipina, Jasmine Althea Romelo memenangi pingat emas (102.180 mata) dan Mikayla Yang dari Singapura membawa pulang pingat perak (101.490 mata).

Joe Ee yang menyasarkan pingat emas pada penampilan terakhirnya, mengakui perasaan gementar menguasai dirinya pada awal saingan selepas melakukan kesilapan menjatuhkan gelung, sekali gus memadam harapannya itu.

"Saya terlalu gementar semasa apparatus pertama. Mungkin saya memberikan tekanan begitu tinggi kepada diri sendiri kerana terlalu menyasarkan emas dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

"Agak menyedihkan kerana perlawanan ini ialah kejohanan terakhir saya. Saya menyasarkan emas, tetapi persembahan pada apparatus pertama tidak begitu bagus, bagaimanapun tiga lagi disiplin saya dapat lakukan dengan baik, jadi saya dapat membaiki markah,"  katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat di sini.

Mengimbas kembali kerjayanya yang bermula ketika mewakili Malaysia buat kali pertama pada usia 13 tahun, Joe Ee berkata perjalanannya dalam gimrama amat panjang, melalui pelbagai fasa dan emosi sepanjang kariernya itu.

Ketika remaja, beliau berasa bertenaga dan tidak gentar, serta mampu melaksanakan rutin yang mencabar dengan mudah, namun mengakui bebanan fizikal semakin sukar ditanggung apabila semakin kerap mengalami kecederaan.

Apabila tubuhnya tidak lagi memberikan tindak balas seperti dahulu, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berundur dan membuat keputusan untuk bersara.

"Tubuh saya tidak tahan lagi kerana saya mengalami sakit belakang dan kini ada kecederaan baharu pada buku lali. Apabila saya melompat dan mendarat dengan kaki kiri, dan ketika saya mengimbangi badan, begitu menyakitkan. Saya menahan kesakitan ini hampir sebulan," katanya.

Ditanya tentang rancangannya selepas ini, Joe Ee berkata beliau akan beralih kepada bidang kejurulatihan tahun depan, walaupun bukan bersama dengan pasukan kebangsaan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap generasi baharu atlet gimrama Malaysia, sambil menggesa mereka yang benar-benar mencintai sukan ini supaya terus mengejar impian.

Sementara itu, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan dua pingat perak dalam acara berkumpulan (reben) serta berkumpulan (tiga bola dan dua gelung).

Pasukan negara terdiri daripada Carol Na Yuan Qi, Valerie Ng, Maia Ong Xiao Han, Bernice See Qin Nin dan Syamimi Amalia Shahrizam mengumpul keseluruhan 17.660 mata di belakang pemenang emas Thailand dengan 21.230 mata dalam acara berkumpulan bagi satu jenis apparatus.

Bagi acara berkumpulan (tiga bola dan dua gelung), Malaysia mencatat 22.500 mata, namun tewas tipis kepada Thailand dengan perbezaan 0.400 mata, manakala Filipina meraih pingat gangsa dengan 13.270 mata.

Pengurus pasukan Afrita Ariany Nasril mengakui kecewa kerana terlepas pingat emas dalam acara kedua itu buat kali pertama sejak edisi 2017, dan telah membuat bantahan, namun akhirnya ditolak.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi dari 9 hingga 20 Dis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan