SUKAN > BERITA

HORMATI BEKAS OLIMPIAN BERI INSPIRASI KEPADA ATLET MASA DEPAN - DR JEGATHESAN

20/12/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Ikon olahraga negara Tan Sri Dr M. Jegathesan berkata penganjuran acara yang memberi penghormatan bekas Olimpian bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada negara, malah memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada generasi atlet muda.

Berucap pada majlis makan tengah hari Krismas anjuran Royal Selangor Club (RSC) bersama seksyen Darts bagi menghormati Olimpian, Dr Jegathesan berkata majlis seumpama itu kekal bermakna walaupun masa berlalu kerana ia memberi peluang kepada bekas atlet untuk kembali mengimbau perjalanan sukan mereka.

“Saya rasa kami semua sangat gembira berada di sini hari ini, terutama kami yang disebut secara khusus, iaitu bekas Olimpian. Jadi, kami ada satu meja di sana yang menempatkan beberapa Olimpian kita, dan kami amat gembira kerana anda tahu, orang ramai masih mengiktiraf kami walaupun selepas beberapa tahun berlalu.

“… dan kami berharap perkara ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda kerana mereka boleh menantikan peluang untuk bertanding,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Jegathesan turut menekankan kepentingan bertanding di peringkat antarabangsa, sambil menjelaskan pengalaman sedemikian memainkan peranan besar dalam membentuk rasa bangga terhadap negara, disiplin dan jati diri dalam kalangan atlet.

“Penyertaan pada tahap tinggi dalam sukan mengajar anda banyak perkara tentang dedikasi, disiplin dan rasa bangga kerana mewakili negara.

“… dan bolehkah anda bayangkan rasa bangga yang kami rasai apabila berdiri di atas rostrum dan lagu Negaraku dimainkan? Hanya mereka yang pernah mengalaminya boleh menceritakan betapa bangganya perasaan mereka apabila berdiri di situ dan seluruh negara berdiri bersama anda,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA) Noraseela Mohd Khalid menzahirkan penghargaan kepada organisasi yang terus menghormati Olimpian dan mengiktiraf sumbangan berterusan mereka kepada sukan negara.

Beliau berkata bekas Olimpian sentiasa bersedia dan rela memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan sukan di negara ini.

“Kami memang bangga dan juga menghargailah mana-mana pihak yang sentiasa mengingati Olimpian dan kami sangat terharu ada lagi pihak yang sentiasa menghargai dan juga menilai kami.

“Kami memang berada di sini yang masih di Malaysia, ya. Saya harap pihak-pihak tertentu, terutama sekali sukan, persatuan sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan sebagainya, menghubungi kami dan ya, kami pasti ingin menyumbang,” katanya.

Presiden Royal Selangor Club Rizal Edi Effendi Sahbudin berkata inisiatif majlis makan tengah hari itu mencerminkan komitmen berterusan kelab berkenaan terhadap pembangunan sukan dan pembinaan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan