SUKAN > BERITA

"JANGAN CEPAT HUKUM, SKUAD BADMINTON DI SUKAN SEA THAILAND"- KENNY

20/12/2025 06:56 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan susulan kegagalan skuad badminton negara mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pencapaian keseluruhan pasukan tidak wajar dinilai secara terasing walaupun skuad negara dibarisi pemain bertaraf dunia seperti bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Pada temasya kali ini, pasukan badminton negara menamatkan kempen dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa.

Kenny yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia menjelaskan pembangunan badminton negara dilaksanakan berdasarkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang dengan penanda aras prestasi yang telah ditetapkan.

Kita tidak boleh terlalu cepat menjatuhkan hukuman terhadap pasukan badminton. Sukan ini mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

“Kita telah menetapkan beberapa ‘milestone’ dan salah satunya adalah Sukan SEA. Mungkin sasaran itu tidak dicapai kali ini, namun terdapat kejohanan lain seperti World Tour Finals yang juga menjadi ukuran prestasi

Dalam pada itu, Kenny mengingatkan agar kegagalan pada satu kejohanan tidak dijadikan alasan untuk bertindak secara berlebihan kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap pembangunan jangka panjang sukan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengakui satu penilaian dalaman tetap akan dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan sepanjang kempen Sukan SEA serta memastikan sasaran masa depan kekal berada pada landasan yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan