KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC yang baharu dilantik Kim Pan Gon berkata visi dan komitmen pasukan menjadi faktor utama mendorong beliau menyertai kelab berkenaan.
Beliau berkata Selangor mempunyai sasaran jelas dan objektif yang selari dengan aspirasinya selaku jurulatih.
Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu juga mengakui kelab bola sepak itu telah menunjukkan kefahaman terhadap kepimpinan serta falsafah bola sepak yang ingin diterapkannya.
“Kelab ini telah menunjukkan dedikasi yang tinggi serta kefahaman mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang akan saya bawa.
“Selain itu, sasaran dan objektif kelab juga selari dengan aspirasi peribadi saya sebagai jurulatih,” kata pakar taktikal berusia 56 tahun dari Korea Selatan itu dalam satu kenyataan.
Mengenai pendekatan bakal digunakan, Pan Gon berkata falsafahanya berteraskan pemain dengan penekakan diberikan kepada aspek persiapan berkualiti serta kejelasan taktikal.
Beliau berkata pembentukan skuad seimbang yang menggabungkan pemain berpengalaman dan bakat muda amat penting, disokong oleh nilai seperti disiplin, profesionalisme, fokus dan semangat berpasukan.
“Di luar padang, saya akan terus memberi dorongan dan motivasi agar para pemain dapat bersaing sebagai satu pasukan,” katanya.
Sementara itu, Pan Gon yang membimbing Ulsan HD dari Korea Selatan menjuarai Liga K1 2024 berkata sokongan padu dan tidak berbelah bahagi penyokong Selangor FC turut menjadi antara faktor yang mendorongnya menerima jawatan tersebut.
Semalam, Pan Gon diumumkan ketua jurulatih baharu Selangor FC, manakala ketua jurulatih interim Christophe Gamel dilantik pengarah teknikal kelab itu.
Pan Gon telah berjaya memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada tangga ke-154 kepada ke-134 antara 2022 hingga 2024, dengan Malaysia mencapai kedudukan terbaik di tangga ke-130 pada November 2023.
Di bawah bimbingannya, Malaysia turut layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 1980.
Selangor kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 25 mata selepas 13 perlawanan, ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial