| BERITA TERGEMPAR | The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | |
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya satu tempat di suku akhir Terbuka Malaysia 2026 selepas juara dunia beregu campuran 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bakal berentap sesama sendiri pada aksi pusingan kedua Khamis ini.
Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan keempat sekali lagi membuktikan mereka menjadi “badi” kepada wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, apabila menyingkirkan gandingan nombor 10 dunia itu dalam aksi straight set pada pusingan pertama kejohanan pembukaan musim itu di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Pasangan rangking keempat dunia itu hanya memerlukan masa 39 minit untuk mencipta kemenangan 21-12, 21-17 dan melebarkan rekod tanpa kalah mereka ke atas beregu Indonesia tersebut kepada tujuh kemenangan berturut-turut.
Tang Jie berpuas hati apabila strategi serta komunikasi di gelanggang bersama pasangannya membuahkan hasil, sekali gus membolehkan mereka mara ke pusingan seterusnya sambil menceriakan penyokong tuan rumah.
“Sudah tentu kita mahu menang jika ada rezeki Khamis ini. Apa yang penting, kita sudah ada satu wakil di suku akhir,” katanya kepada pemberita di zon campuran di sini.
Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei dilihat mempunyai kelebihan ke atas Pang Ron-Su Yin selepas memenangi kesemua tiga pertemuan sebelum ini.
Sementara itu, Pang Ron-Su Yin melangkah ke pusingan kedua selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 20-22, 21-18, 21-17 dalam masa 72 minit.
Pang Ron berkata mereka gembira mencatat kemenangan sulung di Terbuka Malaysia selepas tersingkir awal di tangan wakil Taiwan, Ming Che Lu-Hung En-Tzu, 26-28, 21-14, 22-24, tahun lepas.
Sementara itu, pasangan profesional Jimmy Wong-Lai Pei Jing tewas mudah kepada pilihan ketujuh dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 10-21, 9-21.
Satu lagi beregu profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew hanya bertahan tujuh minit sebelum menarik diri ketika ketinggalan 2-14 kepada pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Bagi acara beregu wanita, pasangan negara Ong Xin Yee-Carmen Ting memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada wakil Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara, 16-21, 11-21, dalam masa 43 minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial