KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Tekong utama skuad kebangsaan Muhammad Syahir Mohd Rosdi dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlangnya di peringkat antarabangsa.
ISTAF memaklumkan Muhammad Syahir menerima sijil berkenaan atas prestasi luar biasa sebagai "Tekong Terbaik Dunia”, khususnya selepas aksi memukau di Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
Menurut kenyataan sijil berkenaan, kejayaan Muhammad Syahir didorong oleh penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, membolehkan beliau secara konsisten beraksi pada tahap tertinggi dalam sepak takraw antarabangsa.
ISTAF turut memuji keupayaan atlet berusia 29 tahun itu mengharumkan nama Malaysia dengan cemerlang, di samping memberi cabaran sengit kepada pemain elit terbaik Thailand sehingga meraih pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa, khususnya daripada media sukan Thailand yang menyifatkan Muhammad Syahir sebagai antara tekong terbaik dunia.
“Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang dalam sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta integriti kesukanan, peranan dalam meningkatkan martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
ISTAF turut menyatakan harapan agar penganugerahan sijil itu menjadi lambang kecemerlangan, sumber inspirasi dan kebanggaan negara, selain dijadikan penanda aras bagi generasi atlet sepak takraw pada masa hadapan.
Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah skuad kebangsaan ke atas musuh tradisi, Thailand, bagi merangkul pingat emas acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2025.
Tekong merupakan posisi penting dalam sepak takraw yang bertanggungjawab menghantar bola dengan tepat dan bertenaga untuk memulakan setiap permainan serta berperanan sebagai penyerang utama pasukan dengan memanfaatkan kemahiran teknikal, ketepatan masa dan strategi taktikal untuk mencipta peluang menjaringkan mata bagi rakan sepasukan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Muhammad Syahir layak menerima pengiktirafan itu berdasarkan prestasi terkini.
“Terkini memang dia beraksi dengan cemerlang dan terbukti dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebagai tekong yang digeruni. Sudah tentu bagi pihak PSM, peminat sepak takraw tanah air merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ISTAF atas pengiktirafan tersebut,” katanya.
Beliau turut berharap pengiktirafan itu dapat memberi suntikan semangat kepada semua pemain negara untuk mengikuti jejak langkah sama iaitu mengharumkan nama negara dan mencapai kejayaan individu yang membanggakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial