SUKAN > BERITA

TAHAP KESIAPSIAGAAN VENUE SUKMA 2026 CAPAI 80 PERATUS - MOHD NAJWAN

07/01/2026 09:27 PM

SEPANG, 7 Jan (Bernama) --Tahap kesiapsiagaan venue bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, yang melibatkan kerja-kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di seluruh negeri, kini telah mencapai kira-kira 80 peratus.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata persiapan tersebut merangkumi kemudahan sukan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta daerah, yang kini giat menjalani proses penambahbaikan.

Mohd Najwan turut memaklumkan bahawa dua venue utama yang sedang melalui proses naik taraf secara menyeluruh ialah Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) di Seksyen 13, Shah Alam, dan Lapang Sasar Menembak Subang.

“Kalau kita lihat Pusat Akuatik (PADE), kali terakhir ia digunakan untuk SUKMA adalah pada 1998 dan dibuka pada 1997, hampir 30 tahun lalu. Ini merupakan kerja-kerja naik taraf utama selepas tempoh hampir 30 tahun, yang melibatkan penambahbaikan dari segi kemudahan serta teknologi.

“Insya-Allah, menjelang bulan April ini, kita sasarkan semua kemudahan dan fasiliti sukan berada dalam keadaan siap digunakan untuk penganjuran SUKMA 2026 nanti,” katanya pada sidang media Majlis Simbolik Ketibaan Obor SUKMA 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Obor tersebut dibawa bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat SUKMA Datuk Mohd Yazid Saari sebagai simbolik menandakan bermulanya kempen dan promosi serta kemeriahan SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15-24 Ogos depan.

Obor SUKMA 2026 akan dibawa menjelajah ke sembilan daerah di Selangor sebagai sebahagian daripada rangka kempen untuk menyemarakkan promosi penganjuran kali kedua Selangor menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu.

Terdahulu, satu majlis penyerahan obor SUKMA 2026 kepada Selangor sebagai tuan rumah pada edisi ke-22 berlangsung di Kuching, Sarawak yang merupakan tuan rumah edisi lepas pada 2024.

Sejumlah 474 acara melibatkan 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini, manakala Para SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 5-14 Sept, mempertandingkan 10 jenis sukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan