SUKAN > BERITA

YU QI BERTEMU KUNLAVUT PADA FINAL TERBUKA MALAYSIA 2026 

10/01/2026 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Shi Yu Qi dari China, semakin hampir untuk mempertahankan gelarannya selepas berjaya melangkah ke final Terbuka Malaysia 2026.

Pemain pilihan utama itu menyingkirkan pilihan ketiga dari Denmark yang juga juara 2024, Anders Antonsen, menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-14 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung selama 46 minit, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.  

Shi Yu Qi , 29, berkata kesabaran ialah kunci kejayaannya, yang membolehkannya mencatat kemenangan kelapan dalam 12 pertemuan menentang Antonsen dan bakal bertemu bekas juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

“Esok akan menjadi cabaran baharu bagi saya dan saya akan memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita dalam temuramah selepas perlawanan di zon campuran.

Sementara itu, Kunlavut mengambil masa 63 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan keempat, Jonatan Christie dari Indonesia, 21-16, 21-16.

Pemain nombor dua dunia itu mengakui terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya memperoleh kemenangan, dan akan mencuba memberikan yang terbaik untuk menjuarai gelaran Super 1000 pertamanya, esok.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita yang juga pilihan kedua dari China, Wang Zhi Yi, meneruskan prestasi cemerlangnya dengan mengalahkan bekas juara dunia dari India, Pusarla V. Sindhu, 21-16, 21-15.

Zhi Yi akan dicabar juara bertahan dan pemain pilihan utama dari Korea Selatan, An Se Young, yang mara ke final tanpa perlu beraksi selepas pemain pilihan keempat China, Chen Yu Fei, menarik diri.

Dalam acara beregu wanita, pasangan pilihan keenam dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, mempamerkan persembahan cemerlang untuk menumpaskan juara bertahan dari Jepun yang juga pasangan pilihan kelima, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 21-16, 21-12.

Terdahulu, pasangan pilihan utama dan juara 2024, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China, mara ke pusingan akhir selepas mengetepikan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, 21-8, 21-17.

China turut unggul dalam acara beregu campuran apabila pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, ternyata terlalu kuat untuk pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-14, 21-14.

Separuh akhir lain menyaksikan China terus mencatat kejayaan apabila pasangan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menewaskan gandingan Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund, 21-15, 21-14 untuk melengkapkan perlawanan akhir yang membabitkan semua pemain negara Tembok Besar itu.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan