SUKAN > BERITA

2026 MEDAN UKUR TAHAP SEBENAR MALAYSIA DI PENTAS DUNIA - MOHAMAD NORZA

11/01/2026 10:12 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam beberapa temasya sukan utama pada 2026 bukan sekadar soal pemburuan pingat, sebaliknya menjadi penanda aras penting untuk mengukur tahap kompetitif sebenar negara berbanding atlet elit dunia.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam perutusan tahun baharunya mengimbas kembali 2025 yang bersejarah dengan merakamkan penghargaan kepada atlet dan pegawai atas usaha meletakkan asas kukuh menjelang kalendar antarabangsa yang mencabar.

“Kini kita mengalihkan tumpuan kepada 2026, tahun penting yang sarat dengan cabaran dan peluang di pentas global. Misi teras kita pada tahun ini tertumpu kepada dua temasya sukan, iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada Oktober.

“Ini bukan sekadar pertandingan, ia merupakan medan ujian terbesar. Kita mesti bawa momentum dari Sukan SEA Thailand 2025 ke Scotland dan Jepun, sekali gus membuktikan bahawa kita mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia,” katanya dalam video yang dimuat naik di akaun rasmi media sosial MOM.

Beliau turut menyatakan kepentingan pembangunan atlet jangka panjang, sambil menekankan penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal dari akhir Oktober hingga pertengahan November tahun ini, yang merupakan kejohanan pertama dianjurkan di bumi Afrika.

Mohamad Norza berkata usaha bersepadu sepanjang 2026 adalah selaras dengan persiapan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 2027, di samping meneruskan usaha jangka panjang negara untuk meraih pingat emas Olimpik pertama.

“Kami sedang membina perkara penting yang akan memacu kita ke arah penganjuran Sukan SEA ke-34. Selain itu, setiap kejayaan menaiki podium pada tahun ini membawa kita selangkah lebih dekat kepada aspirasi nasional tertinggi, iaitu meraih emas Olimpik pertama negara pada Los Angeles 2028,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru seluruh warga sukan agar terus bersatu, berdisiplin dan fokus ketika Malaysia meneruskan peningkatan prestasi di pentas sukan antarabangsa.

Sementara itu, antara pencapaian diingati pada tahun lepas ialah prestasi Malaysia di Sukan Belia Asia di Bahrain apabila kontinjen negara mengutip 12 pingat, terdiri daripada satu emas, dua perak dan sembilan gangsa, diikuti tiga pingat gangsa pada Sukan Perpaduan Islam di Riyadh.

Mohamad Norza turut memuji pencapaian cemerlang kontinjen negara pada Sukan SEA di Thailand, apabila Malaysia mengumpul sebanyak 231 pingat terdiri daripada 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa, iaitu kutipan pingat tertinggi negara dalam sejarah penyertaan Sukan SEA yang diadakan di luar Malaysia.

“Ini merupakan kutipan pingat tertinggi kita dalam sejarah Sukan SEA yang diadakan di luar Malaysia, membuktikan semangat harimau tetap mengaum dengan gagah, tidak kira di mana kita bertanding,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan