KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah PDRM FC 10-1 dengan pemain sayap Teto Martin mencuri tumpuan selepas meledak hatrik berganda pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini,
Martin atau nama sebenarnya Alberto Martin Diaz, membuka jaringan seawal minit kedua sebelum pemain import dari Sepanyol itu menggandakan kelebihan lima minit kemudian, sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 2-0.
Nazmi Faiz Mansor menambah gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-48 sebelum Martin melengkapkan hatrik pada minit ke-50, namun pasukan pelawat berjaya meraih gol saguhati menerusi Mohamad Imran Samso pada minit ke-60.
JDT terus mengganas dengan Martin menambah tiga lagi gol, manakala Marcos Guilherme meledak dua jaringan dan Manuel Hidalgo turut mencatat nama sebagai penjaring, memastikan kemenangan besar buat skuad Harimau Selatan.
Kemenangan itu meletakkan JDT di landasan terbaik untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia menjelang aksi timbal balik di venue sama, Sabtu depan.
Sementara itu, Penang FC membawa kelebihan satu gol selepas menewaskan Kuching City FC 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Bandaraya, petang ini.
Pemain import baharu dari Brazil, Douglas Coutinho Gomes de Souza, muncul wira Harimau Kumbang apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-40 dalam penampilan sulungnya bersama pasukan itu.
Kuching City berpeluang menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan Yuki Tanigawa dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman, namun gagal menewaskan pertahanan ampuh tuan rumah.
Penang FC hampir menambah jaringan menerusi penyerang gantian Dylan Wenzel-Halls, namun golnya pada masa kecederaan dibatalkan kerana ofsaid.
Dalam pada itu, Juara Piala Malaysia 2018, Perak membawa kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0 pada pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila pemain tengah Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-10.
Jaringan itu nyata memberi kesan kepada pasukan pelawat yang kelihatan kehilangan rentak setiap kali menyerang melalui penyerang mereka, Kpah Sherman, namun benteng pertahanan Perak berjaya menahan asakan tersebut.
Babak kedua menyaksikan Perak terus meningkatkan tempo permainan dan berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-54 melalui Muhammad Fadhil Mohammad Azmi.
Tersentak dengan jaringan kedua itu, pengendali The City Boys, Risto Vidakovic memasukkan Paulo Josue bagi menajamkan jentera serangan, namun kedudukan kekal untuk anak buah Syamsul Mohd Saad membawa bekalan dua gol pada aksi kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras 25 Jan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial