SUKAN > BERITA

VILLARREAL CF ANJUR KEM ID APAC DI KUALA LUMPUR

20/01/2026 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kelab LaLiga Sepanyol Villarreal CF kembali ke Malaysia bulan ini bagi menganjurkan edisi kedua Kem Pengenalan Bakat (ID Camp) Akademi Villarreal Asia-Pasifik (APAC) di sini.

Kem itu akan berlangsung dari 23 hingga 25 Jan dan menghimpunkan pemain terpilih daripada rakan Akademi Villarreal di seluruh rantau Asia Pasifik. 

Peserta tahun ini termasuk dari Australia, Filipina, Thailand, Kuwait dan tuan rumah, Malaysia.

Kem itu dianjurkan oleh Akademi Villarreal Malaysia di Arena Sukan Kuala Lumpur dan dikendalikan jurulatih Villarreal CF Nano Márquez dan Alex Mihai dengan sokongan daripada jurulatih akademi tempatan.

Pemain yang menunjukkan prestasi terbaik akan dipilih untuk Pasukan Pilihan APAC Bawah 12, 14 dan 16 untuk mewakili Akademi Villarreal dalam kejohanan antarabangsa pada 2026.

Pengurus pembangunan perniagaan antarabangsa Villarreal CF Mar Llaneza dalam kenyataan berkata mereka teruja untuk kembali ke Malaysia bagi program serantau itu.

“Kami teruja kembali ke Malaysia untuk Kem ID APAC tahun ini. Ia sangat istimewa kerana dapat menyatukan akademi rakan kongsi dari seluruh Asia Pasifik dan melihat jurulatih bersama-sama pemain belajar serta berkembang dan menjalin persahabatan.

“Kami telah melihat peningkatan besar dalam tahap akademi rakan kongsi kami, jadi kami menjangkakan untuk melihat beberapa bakat yang hebat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan