KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu meneruskan sokongan terhadap pembangunan sukan negeri ini dengan menjadi antara penaja utama pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) musim 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad Muhtar Suhaili berkata tajaan bagi musim 2026 itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap keupayaan TSG dalan mengekalkan prestasi cemerlang sekali gus mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau berkata untuk tahun ini, EPIC Berhad memutuskan untuk meningkatkan jumlah tajaan bagi membolehkan pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu mengharungi cabaran getir dengan lebih lancar.
"Tajaan EPIC Berhad mencerminkan keyakinan syarikat terhadap kebolehan TSG dalam mengekalkan momentum kecemerlangan serta keupayaan mereka untuk terus mendominasi dalam siri perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
"Ia juga merupakan komitmen syarikat dalam menyokong persiapan dan pembangunan skuad gergasi basikal tempatan dalam menempuh persaingan di peringkat benua dan global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain menyokong kesinambungan prestasi cemerlang TSG, beliau berkata tajaan itu juga diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan berprestasi tinggi di Terengganu dan selaras dengan nilai kecemerlangan, disiplin serta berdaya saing yang menjadi teras kepada budaya korporat syarikat.
"Gabungan barisan pelumba yang berpengalaman dan rekrut baharu yang mantap menjadikan syarikat optimis serta teruja untuk menantikan pencapaian cemerlang TSG pada musim ini," katanya.
EPIC Berhad yang berada di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated (Trg Inc) merupakan syarikat penyelia perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi untuk rantaian nilai huluan dan hiliran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial