SUKAN > BERITA

WEI CHONG-KAI WUN KEMPUNAN PERTAHAN KEJUARAAN MASTERS INDONESIA

23/01/2026 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Hasrat beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mempertahankan kejuaraan Masters Indonesia tidak kesampaian apabila terpaksa akur ditundukkan gandingan tuan rumah Moh Reza Pahlevi Isfahani- Sabar Karyaman Gutama hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, menyaksikan pasangan nombor enam dunia itu tewas 20-22, 19-21 dalam perlawanan selama 38 minit.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak berdepan masalah menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan  wakil Korea Selatan, Song Hyun Cho–Lee Jing Min 21-17, 21-13 dalam tempoh 34 minit pada aksi suku akhir.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan kombinasi Korea Selatan–Malaysia, Choi Sol Gyu–Goh V Shem bagi perebutan tiket ke final esok.

Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut menepati ramalan mara ke separuh akhir selepas mudah menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Yu Jung-Lee Yu Lim 21-15, 21-9 dalam tempoh 29 minit.

Menanti beregu nombor dua dunia itu adalah gandingan nombor 16 dunia dari Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan atau wakil tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu pada aksi separuh akhir. 

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengesahkan slot separuh akhir selepas gandingan ranking keempat dunia itu menyingkirkan pasangan Singapura-Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-19.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan cabaran sukar untuk ke final apabila akan bertemu pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin pada aksi separuh akhir esok.

Dalam kategori perseorangan wanita, pemain negara K. Letshanaa berjaya menundukkan pilihan keenam kejohanan dari Taiwan, Huang Yu-Hsun 21-17, 21-18 dan dijadual bertemu pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh di separuh akhir. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan