KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan mengakui gembira dan pada masa sama terkilan selepas beliau dan pasangannya M. Thinaah meraih gelaran pertama musim ini pada Masters Indonesia 2026 susulan kemenangan percuma pada pentas final di Jakarta, semalam.
Pearly berkata kedua-dua mereka sebenarnya teruja untuk beraksi pada aksi menentang gandingan baharu Jepun itu, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi di venue ikonik Istora Senayan, lebih-lebih lagi selepas menyaksikan prestasi cemerlang lawan mereka sepanjang kejohanan Super 500.
“Namun, perkara di luar jangkaan dan saya mendoakan agar Takahashi cepat sembuh. Kami berharap dapat berdepan pasangan Jepun itu pada kejohanan akan datang,” katanya kepada Bernama.
Beregu pilihan utama kejohanan itu muncul juara selepas pasangan Jepun itu menarik diri.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Takahashi tidak dapat beraksi susulan demam.
Kejayaan itu menyaksikan Pearly-Thinaah muncul beregu wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan tersebut dalam tempoh 15 tahun sejak kali terakhir dimenangi Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011.
Pencapaian itu merupakan gelaran pertama pasangan nombor dua dunia itu selepas mereka beraksi dalam tiga kejohanan setakat musim ini.
Walaupun Pearly-Thinaah mula membina momentum musim ini, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky percaya gandingan negara itu masih perlu meningkatkan tahap kecergasan menjelang All England 2026 in Birmingham dari 3 hingga 8 Mac.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Beregu Campuran Kebangsaan Nova Widianto berpuas hati dapat membimbing juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mencipta sejarah selepas muncul pasangan beregu campuran Malaysia pertama menjuarai Masters Indonesia.
Nova berharap pasangan nombor empat dunia itu dapat mengekalkan rentak dan mencapai keputusan terbaik pada All England 2026
Pasangan pilihan ketiga Tang Jie–Ee Wei meraih gelaran pertama musim ini selepas melakukan kebangkitan hebat untuk menewaskan gandingan Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11 dalam tempoh 57 minit.
Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan hari cemerlang buat Malaysia dengan menghadiahkan kejuaraan ketiga selepas mencatat kemenangan straight set ke atas wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, 21-19, 21-13.
Beregu nombor sembilan dunia dan pilihan keempat itu menamatkan kemarau gelaran selama setahun, selepas kali terakhir menjulang trofi pada Terbuka India 2025 pada Januari tahun lepas.
Dalam satu hantaran di Instagram, Nur Izzuddin memuji barisan pemain negara di sebalik kebangkitan mereka, dengan menyifatkan keikhlasan dan sokongan yang diberikan membantu mereka kembali menemui prestasi terbaik.
“Terima kasih pasukan, dengan keikhlasan dan kejujuran kalian membantu kami bangkit semula dan itulah yang kami cari. Tidak kira apa orang kata, kita tetap steady,” katanya.
Juara acara beregu, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai USD39,500 (RM158,217) , manakala naib juara menerima USD19,000 (RM76,104).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial