NAKHON RATCHASIMA, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan pengurus pasukan berbasikal para negara Mohd Asri Abd Mubin ke Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di sini selepas difahamkan mengalami strok, semalam.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata Mohd Asri masih berada di bawah pemantauan rapi dan keadaannya setakat ini tidak menunjukkan sebarang perubahan berbanding semalam.
Beliau berkata Mohd Asri masih belum sedarkan diri dan perbincangan telah diadakan antara pihak Institut Sukan Negara (ISN) dan doktor tempatan berkaitan keadaan kesihatan serta rawatan beliau
“Kita akan memastikan keadaan beliau stabil terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membawa pulang ke tanah air. Segala urusan kebajikan akan diuruskan MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Anak beliau juga telah diterbangkan dari Kuantan bagi membantu urusan di sini,” katanya pada sidang media rangkuman prestasi atlet APG 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berharap semua pihak dapat mendoakan kesembuhan Mohd Asri.
APG Thailand 2025 yang bermula Selasa lepas, melabuhkan tirai hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial