SEPANG, 26 Jan (Bernama) -- Pemain SRG Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman menyifatkan Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini merupakan pengalaman paling perit sepanjang penglibatannya di pentas antarabangsa.
Muhammad Haqqullah atau lebih dikenali sebagai Sekys mengakui beberapa kesilapan kecil yang dilakukannya telah menjadi sebab skuad itu gagal melangkah ke final.
“Ada banyak momen yang sepatutnya boleh diubah termasuk kesilapan daripada saya sendiri,” katanya kepada pemberita setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
SRG menamatkan saingan Kejohanan Dunia MLBB M7 di tempat ketiga selepas tunduk 1-3 kepada wakil tuan rumah, Alter Ego dalam perlawanan akhir lower bracket pada Sabtu.
Perlawanan akhir lower bracket antara SRG dan Alter Ego mencatat rekod dunia baharu sebagai perlawanan e-sukan mudah alih yang paling banyak ditonton sepanjang masa, dengan 5.59 juta Tontonan Serentak Tertinggi (PCV), menurut Esports Charts.
Rekod sebelum ini menyaksikan sebanyak 5.36 juta PCV dicatatkan pada kejohanan semasa perlawanan Alter Ego menentang Team Liquid Philippines (TLPH), menjadikan Kejohanan Dunia M7 edisi M Series yang paling banyak ditonton dalam sejarah.
Sekys berkata tekanan tinggi ketika perlawanan turut menyukarkan pasukan untuk mengawal situasi pada aksi akhir lower bracket antara SRG dan Alter Ego.
“Tekanan memang terlalu tinggi ketika itu dan agak sukar untuk mengawal permainan. Beberapa kesilapan kecil serta perkara yang tidak dijangka berlaku dan itu menyebabkan kami tewas,” katanya.
Mengulas masa depan pasukan, atlet berusia 20 tahun itu berharap legasi SRG akan terus dipertahankan oleh barisan pemain akan datang demi memastikan Malaysia kekal berada di peringkat tertinggi arena e-sukan.
“Siapa pun yang akan bersama SRG pada masa depan, saya harap legasi pasukan ini dapat diteruskan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial