ISKANDAR PUTERI, 28 Jan (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini digantung kembali beraksi.
Munoz bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel akan disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi menghadapi perlawanan Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN 2025/2026 menentang Shan United FC dari Myanmar esok.
Beliau berkata keputusan itu bergantung kepada penilaian keseluruhan keadaan mereka termasuk tahap kecergasan, sebelum memuktamadkan pemilihan pemain.
“Ini satu perkembangan positif buat kami dan kami amat gembira dengan keputusan ini untuk para pemain.
“Kini kami perlu memutuskan hari ini apakah situasi untuk pasukan dan pemain, serta sama ada mereka boleh diturunkan dalam perlawanan itu atau dikekalkan di bangku simpanan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Sementara itu, Xisco menyifatkan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim menentang Shan United FC esok sebagai penting, walaupun lawan mereka kini berada di tangga tercorot Kumpulan B.
Beliau berkata skuad Harimau Selatan mengetahui sepenuhnya keupayaan Shan United terutama kepantasan dalam menukar corak permainan serta menyusun benteng pertahanan mereka, sekali gus tidak boleh memandang ringan perlawanan itu.
“Esok akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami mahu memberikan yang terbaik kerana jika kami memperoleh tiga mata, kami hampir pasti akan mara ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Shan United FC Han Win Aung berkata pasukan itu bersedia menentang JDT, yang dianggap sebagai kelab terbaik di ASEAN walaupun mereka tidak lagi berpeluang mara ke pusingan seterusnya.
Beliau berkata pasukan itu akan memberikan yang terbaik dan bertahan sehingga ke wisel penamat.
“Kami akan melakukan yang terbaik dan cuba mencatat keputusan yang baik esok. Kami menumpukan kepada teknik yang baik, kerja berpasukan dan memanfaatkan peluang kami di atas padang,” katanya.
JDT kini berada di tempat kedua Kumpulan B, di belakang Nam Dinh (Vietnam) selepas memenangi dua perlawanan dan mengumpul tujuh mata setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial