SUKAN > BERITA

PIALA MALAYSIA: TFC MAHU KUTIP BEKALAN SELESA BERTEMU KL CITY FC

05/02/2026 02:54 PM

KUALA NERUS, 5 Feb (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) berazam untuk mengutip bekalan selesa pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok. 

Pemangku Ketua Jurulatih TFC Tengku Hazman Raja Hassan berkata meskipun perlawanan itu tampak mencabar, skuad Penyu perlu mencipta seberapa banyak gol di tempat sendiri sebagai bekalan selesa apabila bertandang ke Kuala Lumpur pada 16 Feb nanti.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata pemain perlu mengekalkan momentum positif dan kemenangan untuk mara ke peringkat separuh akhir piala paling berprestij negara itu.

“Saya yakin dengan momentum yang TFC ada sekarang. Aksi pertama di laman sendiri dianggap sebagai kelebihan dan kami akan ambil peluang sepenuhnya untuk mencipta sebanyak mungkin gol,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tengku Hazman bagaimanapun berkata persiapan pasukan sedikit terjejas apabila beberapa tonggak utama termasuk Muhammad Safwan Mazlan dan Diego Landis mengalami kecederaan ketika bertemu Selangor FC pada aksi Liga Super pada Ahad lepas.

Selain itu, jadual perlawanan yang padat pada bulan ini turut menyebabkan banyak pemain utama berdepan masalah keletihan dan kecergasan.

“Saya mungkin perlu melakukan sedikit rombakan pada kesebelasan utama pasukan bagi menjaga stamina dan tahap kecergasan pemain.

“Cabaran Piala Malaysia berbeza dengan Liga Super. Oleh itu, saya ingatkan pemain supaya tingkatkan fokus, lebih berwaspada dan tidak ambil mudah kemampuan pasukan lawan,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan