SUKAN > BERITA

BATC: SKUAD LELAKI GAGAL NAFI KEHEBATAN INDONESIA

05/02/2026 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Skuad badminton lelaki negara gagal menafikan kehebatan pasukan Indonesia apabila tewas 2-3 pada aksi terakhir Kumpulan D Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China hari ini.

Malaysia, bagaimanapun masih layak ke suku akhir selepas berada pada kedudukan kedua peringkat Kumpulan D, di belakang Indonesia yang menjuarai kumpulan itu. 

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Conson, Pusat Sukan Qingdao, Malaysia berjaya mendahului apabila perseorangan lelaki negara Justin Hoh mudah mengetepikan Moh. Zaki Ubaidillah 21-16, 21-19 dalam masa 46 minit. 

Skuad negara kemudian terpaksa bekerja keras untuk menggandakan kedudukan menerusi beregu lelaki Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dalam perlawanan sengit 21-13, 12-21, 21-13. 

Satu lagi perseorangan lelaki negara Eogene Ewe, bagaimanapun gagal mengatasi Prahdiska Bagas Shujiwo 12-21, 21-14, 15-21, sekali gus membenarkan Indonesia merapatkan kedudukan 2-1. 

Malaysia terus terlepas mata keempat apabila beregu lelaki Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri ditewaskan gandingan pasukan lawan Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-16, 11-21, 19-21. 

Satu-satunya harapan Malaysia untuk meraih mata terakhir turut lebur apabila perseorangan lelaki Kong Wei Xing dikecewakan Anthony Sinisuka Ginting dalam perlawanan sengit 17-21, 21-13, 16-21. 

Semalam, Malaysia mudah mengetepikan Myanmar 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D. 

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan