SUKAN > BERITA

JALAN SEKITAR KLCC DITUTUP ESOK SEMPENA PELANCARAN MUSIM MOTOGP 2026

06/02/2026 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat esok bagi memberi laluan kepada Program Pelancaran MotoGP Musim 2026 yang dijadual berlangsung sekitar ibu kota.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penutupan jalan bermula 2 petang hingga 12 tengah malam bagi memastikan kelancaran acara serta keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.

Beliau berkata program pelancaran itu bukan sahaja menandakan permulaan musim MotoGP, malah bertujuan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi global yang moden, dinamik dan berdaya saing.

Beliau berkata penutupan penuh akan dilaksanakan di Jalan Ampang bagi laluan masuk dan keluar dari persimpangan Jalan P. Ramlee atau Yap Kwan Seng hingga ke persimpangan Jalan Mayang serta bagi laluan masuk dari persimpangan Jalan P. Ramlee hingga ke persimpangan Jalan Persiaran KLCC.

“Penutupan penuh Jalan P. Ramlee bersebelahan KLCC pula melibatkan laluan dari persimpangan Jalan Ampang hingga ke persimpangan Jalan Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta sentiasa mematuhi arahan pegawai polis dan petugas trafik yang bertugas.

"Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama serta kefahaman orang ramai atas sebarang kesulitan yang timbul sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan jalan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan