KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Sistem kiraan 15 mata yang bakal diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijangka memberikan manfaat kepada pemain Eropah.
Ketua Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata format baharu yang lebih singkat itu menjadikan perlawanan terlalu pantas, dan menuntut tahap fokus yang tinggi sejak mata pertama.
“Saya rasa 15 mata terlalu cepat. Kalau lihat cara pemain Eropah main dan latihan mereka, memang lebih sesuai dengan sistem ini.
“Tapi kalau memang itu sudah diputuskan, kita mesti ikut dan sesuaikan dengan latihan. Yang paling penting adalah fokus kerana permainan jadi sangat pendek dan ruang untuk buat kesilapan sangat sedikit,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara, hari ini.
Dalam masa yang sama, Nova turut mengakui pemain Asia juga mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan apa jua perubahan format.
“Kalau di Asia, kita sudah biasa dengan pelbagai sistem dan boleh sesuaikan diri. Tetapi, pada pandangan saya, dalam fasa awal ini mungkin pemain Eropah yang lebih untung,” katanya.
Sementara itu, juara dunia beregu campuran Toh Ee Wei sedia menerima sebarang perubahan format pemarkahan dan akan cuba menyesuaikan diri sekiranya sistem 15 mata diperkenalkan.
Beliau berkata sebagai pemain profesional, menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja keputusan yang dibuat badan induk dunia.
“Saya tak mahu komen banyak (pertukaran sistem permarkahan). Kalau mereka nak berapa mata sekali pun kita sebagai pemain perlu terima dan sesuaikan diri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh Chee Keong memaklumkan pihaknya belum membuat keputusan berhubung pertukaran format permakahan itu.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pemain serta barisan kejurulatihan dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan berkenaan secara menyeluruh sebelum memuktamadkan pendirian badan induk itu.
Hasil perbincangan itu, kemudian akan dibawa untuk diundi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadual berlangsung pada 25 April ini di Horsens, Denmark.
Semalam, Majlis BWF bersetuju untuk mencadangkan sistem 15 mata sebagai format pemarkahan rasmi pertandingan, yang menawarkan keseimbangan terbaik dari segi keterujaan perlawanan, keadilan kompetitif dan kebajikan pemain.
Sistem itu sebelum ini sudah diuji dalam beberapa kejohanan kebangsaan serta kejohanan Gred 3 selain digunakan pada Kejohanan Remaja Dunia 2025.
Bagaimanapun, keputusan rasmi akan diketahui selepas ahli gabungan BWF mengundi usul tersebut pada AGM badan induk dunia itu pada 25 April ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial