SUKAN > BERITA

TERENGGANU RAIH TIGA MATA BERHARGA, KALAHKAN MELAKA 2-1

22/02/2026 12:50 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Terengganu menepati ramalan apabila mengutip tiga mata menewaskan Melaka FC 2-1 pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Hang Jebat, Melaka hari ini. 

Keputusan itu menyaksikan skuad Sang Penyu kekal di tangga kelima dengan 28 mata keseluruhan manakala pasukan tuan rumah di tangga kedua tercorot dengan 10 mata. 

Aksi sebentar tadi menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi Muhammad Akhyar Rashid yang mudah menolak masuk hantaran Gervane Kastaneer selepas melakukan asakan bertali arus ke kubu tuan rumah. 

Bersambung babak kedua, Melaka yang cuba bangkit berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh Dino Kalesic pada minit ke-73.

Namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Muhamad Baqiuddin Shamsudin yang tidak dikawal mudah menewaskan penjaga gol Melaka Samuel Somerville pada minit ke-77 dan keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat. 

Sementara itu, aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas tewas 1-2 menentang Imigresen FC. 

Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan sebaik wisel permainan dibunyikan, namun NSFC memperoleh pendahuluan pada minit kesembilan apabila Vinicius Milani tertampan bola ke gawang sendiri selepas cuba menepis hantaran lintang Luqman Hakim Shamsudin.

Keadaan bagaimanapun bertukar sukar buat skuad Hobin Jang Hobin apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Yuichi Hirano dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-22, yang kemudiannya menyaksikan pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-40. 

Memasuki babak kedua, NSFC terus mempertingkatkan intensiti permainan namun Imigresen meledak gol kedua menerusi Eduardo Sosa pada minit ke-84 sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada IFC.

Aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pula menyaksikan PDRM FC menundukkan Kelantan The Real Warriors (TRW) 1-0 untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri. 

Jaringan tunggal skuad Sang Saka Biru diperoleh menerusi Eizrul Ashraf Nor Effendy yang melepaskan rembatan ke gawang pasukan pelawat selepas menerima hantaran Tae-Su Park pada minit ke-26. 

Pasukan kendalian Eddy Gapil bagaimanapun kekal di kedudukan tercorot dengan mengumpul 10 mata daripada 17 perlawanan, manakala Kelantan TRW pula menghimpun 15 mata dan menghuni tangga ke-10.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan