SUKAN > BERITA

MUHAMMAD SYAHIR AKUI BELUM SETARAF SUEBSAK WALAUPUN DINOBAT TEKONG TERBAIK DUNIA

22/02/2026 04:22 PM

 KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Tekong berpengalaman negara Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui beliau masih belum mencapai tahap untuk berdiri sebaris dengan legenda sepak takraw Thailand Suebsak Phunsueb biarpun dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia.

Muhammad Syahir yang menerima pengiktirafan itu daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bulan lepas berkata perjalanan kariernya masih panjang, mengambil kira jumlah pungutan pingat emas dimiliki idolanya itu.

“Setakat ini saya belum capai lagi kerana jumlah pingat emas yang diperoleh masih belum cukup berbanding beliau. Kami tahu tekong Thailand itu memiliki banyak koleksi pingat emas termasuk pada Sukan Asia dan Sukan SEA.

“Jadi untuk mengatakan saya sudah sebaris dengannya, itu masih belum lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tekong utama skuad kebangsaan itu dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh ISTAF sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Menurut ISTAF, tekong berketinggian 189 sentimeter itu menerima sijil berkenaan susulan prestasi luar biasa sebagai Tekong Terbaik Dunia, khususnya selepas aksi cemerlang pada Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting membantu skuad negara menamatkan penantian pingat emas selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2025.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata sepanjang sembilan tahun bersama skuad kebangsaan, beliau berdepan pelbagai cabaran yang mematangkannya sebagai pemain.

“Saya lihat banyak cabaran yang saya dan pasukan hadapi. Untuk sampai ke tahap seperti sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Apabila sudah berada di tahap ini, kita perlu lebih berhati-hati, terus berusaha dan sentiasa berwaspada dengan pasukan lawan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan