KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan penganjuran tiga kejohanan futsal dan bola sepak pantai peringkat kebangsaan musim ini selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penyelarasan kalendar pertandingan.
FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan faktor lain antaranya berkaitan komitmen pasukan serta aspek logistik dan infrastruktur.
Bagaimanapun, badan induk itu menegaskan keputusan itu bukan langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara, sebaliknya satu pendekatan strategik.
“Ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
“FAM sedang menilai semula struktur pertandingan bagi futsal dan bola sepak pantai supaya ia selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta standard pertandingan yang lebih kompetitif,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, FAM juga akan memperincikan pelan penstrukturan semula pertandingan futsal dan bola sepak pantai setelah perbincangan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan.
Terdahulu, media melaporkan pembatalan penganjuran Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan bagi musim ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial