SUKAN > BERITA

BAM LANTIK LIM KENN SEBAGAI KETUA PEMBANGUNAN SALURAN BAKAT

27/02/2026 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas pemain remaja kebangsaan Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Saluran Bakat berkuat kuasa 1 Mac.

BAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh penyelarasan antara persatuan badminton negeri dan badan kebangsaan.

Pelantikan itu bertujuan menyelaraskan program pembangunan peringkat negeri dengan piawaian kebangsaan BAM, sekali gus merapatkan jurang kualiti bagi memastikan peralihan pemain ke peringkat elit berjalan lebih lancar.

Dalam peranan baharunya, Kenn akan memantau persatuan badminton negeri dan menyelia keseluruhan struktur laluan bakat bagi memastikan program negeri bergerak seiring dengan rangka kerja latihan kebangsaan.

Mandat beliau merangkumi pengukuhan struktur latihan, penambahbaikan metodologi kejurulatihan, peningkatan pemantauan kecergasan serta pelaksanaan pendekatan sains sukan yang lebih sistematik.

Inisiatif itu turut melibatkan perkongsian kepakaran kebangsaan, termasuk modul latihan terkini, analisis video perlawanan dan pendekatan taktikal moden, dengan rakan sejawat di peringkat negeri.

BAM menambah melalui perancangan jangka panjang, sasaran jelas bagi Sukan Olimpik 2032 dan 2036 dapat dikenal pasti lebih awal bagi memastikan kesinambungan prestasi pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei percaya langkah penghubung penyelarasan ini penting bagi memastikan setiap negeri bergerak seiring dengan hala tuju teknikal dan prestasi yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

“BAM akan menjalankan pemantauan berkala setiap dua atau tiga bulan dengan menghantar jurulatih kebangsaan ke negeri-negeri untuk menilai pembangunan pemain dan memberi bimbingan kepada jurulatih negeri.

“Persatuan Badminton Negeri memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pemain untuk skuad kebangsaan, kerana kekuatan di peringkat akar umbi adalah asas kejayaan Malaysia,” kata Chong Wei.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan