SUKAN > BERITA

HOKI KELAYAKAN PIALA DUNIA 2026: MALAYSIAN TIGRESS HIDUPKAN PELUANG KE SEPARUH AKHIR

04/03/2026 09:34 AM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Skuad hoki wanita negara kembali mencerahkan peluang ke separuh akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menang besar 6-1 ke atas Kanada pada aksi kedua Kumpulan B, di Santiago, Chile pada Selasa.

Nur Afiqah Syahzani Azhar mencuri tumpuan apabila meledak dua gol padang masing-masing pada minit ke-20 dan 28 untuk Malaysian Tigress pada perlawanan berlangsung di Estadio Nacional.

Pesta gol skuad kendalian ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bermula pada minit kesembilan hasil jaringan pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin manakala gol ketiga disumbangkan Zati Alyani Muhammad Zubir menerusi jaringan padang pada minit ke-36.

Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Fatin Shafika Mahd Sukri turut mencetak nama selaku penjaring gol kelima dan keenam masing-masing pada minit ke-39 dan ke-46 dengan kedua-duanya berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Chloe Walton pula menyumbat gol sagu hati buat pasukan lawan pada minit ke-11.

Menerusi video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Mohd Nasihin memuji kebangkitan dan kematangan dipamerkan anak buahnya selepas dibelasah Ireland 0-5 dalam aksi pembukaan Isnin lepas.

“Pemain telah berikan yang terbaik dan ini hasil disiplin tinggi serta taktikal berkesan diterapkan, berbeza semalam (menentang Ireland) namun masih terdapat ruang penambahbaikan lagi.

“Kita akan rehat sehari sebelum aksi menentang Jepun. Kami akan gunakan kesempatan ini untuk lihat video pasukan Jepun, mereka merupakan pasukan pilihan namun kita tidak akan berikan laluan mudah dan berikan persembahan lebih baik dari hari ini (menentang Kanada),” katanya.

Ireland kini memimpin Kumpulan B dengan enam mata manakala perbezaan jaringan menyaksikan Jepun di tangga kedua biarpun berkongsi tiga mata bersama Malaysia dan Kanada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap Kumpulan A dan B akan melangkah ke separuh akhir.

Hanya tiga pasukan terbaik setiap kempen kelayakan dan pasukan keempat terbaik yang memiliki ranking dunia lebih tinggi daripada kedua-dua pusingan kelayakan, mara ke saingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos ini.

Satu lagi saingan kelayakan Piala Dunia 2026 berlangsung di Hyderabad, India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan