SUKAN > BERITA

PENYERTAAN SUKARELAWAN SUKMA CECAH 30,000 ORANG - AMIRUDIN

08/03/2026 10:18 PM

SHAH ALAM, 8 Mac (Bernama) -- Penyertaan sukarelawan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor menerima sambutan memberangsangkan apabila kira-kira 30,000 orang telah mendaftar setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu jauh melebihi sasaran awal pihak penganjur yang hanya menjangkakan sekitar 5,000 sukarelawan.

Beliau berkata lebih membanggakan majoriti yang mendaftar terdiri daripada anak muda yang menunjukkan minat tinggi untuk terlibat secara langsung dalam menjayakan temasya sukan terbesar negara itu.

“Kita lihat persiapan untuk SUKMA berjalan dengan baik dan sangat membanggakan, paling memberangsangkan ialah penyertaan sukarelawan, terutamanya anak-anak muda. Sebenarnya majoriti anak muda mahu menjadi sukarelawan dalam SUKMA nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama Penggerak Belia Selangor dan Mahasiswa di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini. 

Amirudin berkata pihak penganjur akan cuba menempatkan seramai mungkin sukarelawan supaya temasya itu dapat berjalan lebih baik, teratur dan tersusun dengan bantuan mereka, selain latihan kepada sukarelawan akan dimulakan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia.

Mengenai persiapan, beliau berkata keseluruhan kesiapsiagaan SUKMA di Selangor kini telah mencapai lebih 80 peratus, manakala larian obor dijangka bermula pada Mei depan.

Beliau juga berkata projek naik taraf Pusat Akuatik yang menelan kos kira-kira RM40 juta kini berada pada tahap antara 30 hingga 40 peratus dan disasarkan siap menjelang Jun, lebih kurang dua bulan sebelum temasya berlangsung.

Terdahulu dalam ucapan, Amirudin berkata pada tahun ini kerajaan negeri akan memperkenalkan inisiatif pendidikan separuh percuma kepada pelajar di universiti milik negeri itu. 

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan kira-kira 4,000 anak Selangor yang belajar di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerajaan negeri menanggung 50 peratus kos pengajian.

“Maknanya, kalau kos pembelajaran mereka RM38,000 ataupun RM35,000, mereka hanya perlu membayar RM15,000 kepada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) kerana RM15,000 akan dibayar oleh kerajaan negeri demi menjamin pendidikan anak-anak muda pada masa depan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan