JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) -- Dakwaan bahawa sebahagian besar hasil kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kononnya datang daripada dana awam atau kerajaan adalah tidak tepat dan mengelirukan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata rujukan kepada Majlis Sukan Negeri Johor serta saluran berkaitan kerajaan dalam penyata kewangan kelab berkenaan merupakan prosedur pentadbiran biasa dalam ekosistem penajaan sukan negara.
“Banyak penajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan bagi tujuan tadbir urus dan pelepasan cukai. Oleh itu, angka yang dipetik oleh pihak tertentu tidak boleh disamakan sebagai pembiayaan langsung kerajaan terhadap operasi kelab.
“Pada masa yang sama, sebarang geran atau sumbangan kerajaan yang disalurkan adalah khusus untuk pembangunan sukan akar umbi, termasuk program pembangunan bola sepak belia, kejohanan di peringkat daerah serta pengukuhan ekosistem bola sepak negeri melalui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan persatuan daerah,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata dana tersebut bukan disalurkan bagi tujuan operasi pasukan profesional JDT.
“Kerajaan negeri berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan atau kesimpulan.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem sukan yang sihat dan profesional di negeri Johor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial