KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz dilantik sebagai ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 manakala Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan akan mengetuai kontinjen negara ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan pelantikan Presiden Taekwondo Malaysia (WT) Azizul Annuar Adenan dan Presiden Persatuan Tinju Malaysia Datuk Mohamad Iruan Zulkefli sebagai CDM bersama bagi Sukan SEA 2027 yang berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Majlis itu turut menamakan Datuk Chong Kim Fatt sebagai CDM bagi Sukan Pantai Asia 2026 di Sanya, manakala bekas atlet wushu kebangsaan Wong Weng Son akan mengetuai kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal.
“Susulan cadangan yang dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM pada Selasa, MOM telah mendapat penerimaan dan pengesahan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, bagi pelantikan CDM ke temasya sukan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau berharap agar CDM yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi memastikan penyertaan kontinjen Malaysia dalam temasya sukan akan datang berjalan dengan jayanya.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Dr Mohammed Taufiq atas penerimaan dan pengesahan beliau terhadap pelantikan CDM bagi kontinjen Malaysia,” katanya.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Sementara itu, Sukan SEA 2027 akan diadakan dari 18 hingga 29 Sept, Sukan Pantai Asia 2026 dari 22 hingga 30 April dan Sukan Olimpik Remaja 2026 dari 31 Okt hingga 13 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial