SUKAN > BERITA

KBS PERUNTUK RM1 JUTA KEPADA YAKEB SANTUNI BEKAS ATLET

16/03/2026 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan RM1 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi menyantuni bekas atlet yang bernaung di bawah yayasan berkenaan sepanjang tahun ini.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya telah meneliti segala keperluan melibatkan yayasan itu dan penyaluran peruntukan tersebut adalah untuk memastikan kebajikan bekas atlet negara terus terpelihara.

Beliau berkata KBS akan terus memantau keperluan lain dan menambah peruntukan yayasan itu sekiranya perlu supaya program menyantuni semua bekas atlet yang memerlukan berjalan lancar. 

“Kita sentiasa berbincang dan meneliti segala keperluan untuk kita memberikan sumbangan dan juga menjaga kebajikan atlet. Sebab itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk YAKEB. 

“Saya nak mengajak dan menyeru lebih ramai lagi ahli korporat, swasta dan sebagainya untuk bersama-sama membantu usaha ini. KBS sentiasa meneliti jika ada keperluan untuk penambahan dan sebagainya kita akan sentiasa berbincang dengan pihak YAKEB untuk memastikan kelancaran yayasan ini,” katanya selepas majlis Projek Ramadan 2026: Menghargai Bekas Atlet, Menyemai Kasih di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata setakat ini jumlah yang diperuntukkan mampu menampung perbelanjaan yang diperlukan yayaysan berkenaan. 

“Alhamdulillah, kita telah mendapat peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM1 juta bagi menguruskan pemberian bantuan-bantuan dan juga insentif yang telah tersedia ada dalam skim YAKEB.

“Kita akan melakukan kerjasama dengan beberapa pihak swasta untuk menampung beberapa perbelanjaan lain sekiranya perlu,” katanya.

Projek Ramadan 2026: Menghargai Bekas Atlet, Menyemai Kasih di Dewan Kompleks Rakan Muda, Kompleks Sukan Bukit Kiara, menyaksikan YAKEB menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 50 bekas atlet. 

“Lebih kurang 50 orang menerima duit raya, bakul makanan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi. Ini salah satu usaha kita bersama, usaha kecil, yang mana hari ini kita memberikan penghargaan kepada semua atlet legenda kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan