KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menurunkan skuad lebih muda untuk menyertai Kejohanan Bawah 17 Tahun (B-17) ASEAN 2026 yang dijadualkan berlangsung di Indonesia, April ini.
Keputusan menghantar pemain berusia 16 tahun sahaja berbanding pemain 17 tahun adalah bagi memberikan persiapan awal kepada skuad skuad Harimau Malaya B-16 kendalian Shukor Adan, menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November depan.
Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Datuk Ong Kim Swee berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell.
"Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 ini sebenarnya dijadikan sebagai medan persiapan atau pemanas badan buat pasukan-pasukan di bawah Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang akan beraksi pada Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi pada Mei depan.
"Lima pasukan iaitu Vietnam, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Australia menghantar skuad B-17 (lahir 2009) kerana mereka layak ke Arab Saudi, manakala Malaysia tidak layak selepas gagal pada pusingan kelayakan, November lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kim Swee berkata biarpun menghantar skuad muda, beliau yakin dan percaya para pemain negara tetap mampu memberikan cabaran yang hebat di Indonesia nanti.
Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 akan berlangsung di Jawa Timur, Indonesia dari 11 hingga 24 April 2026 dengan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste.
Kumpulan B menampilkan Thailand, Laos, Myanmar dan Filipina manakala Kumpulan C dibarisi Australia, Kemboja, Singapura dan Brunei.
Sebagai rekod, pasukan negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2024 di Surakarta, Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial