SUKAN > BERITA

ATLET LOMPAT BERGALAH SAMBUT AIDILFITRI DI TAIWAN DEMI GALAS CABARAN NEGARA 

20/03/2026 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Ketika rakyat Malaysia bakal meraikan Aidilfitri esok, namun atlet lompat bergalah negara terpaksa melupakan seketika hasrat menyambut perayaan demi menggalas cabaran negara pada kejohanan antarabangsa.

Muhammad Naufal Shahrul Afzam, Muhammad Hafidzul Ain, Nor Sarah Adi dan Noor Shahreen Jamizan, bakal beraksi pada Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa Taiwan 2026 serta Kejohanan Jemputan Lompat Bergalah Nantou-Sun Moon Lake yang berlangsung pada 22 hingga 25 Mac ini.

Bagi Nor Sarah Adi, situasi berkenaan bukanlah satu perkara baharu buat dirinya sambil menganggap pengorbanannya itu sebahagian daripada asam garam sebagai atlet elit.

“Bagi saya sebagai atlet tidak beraya itu sudah perkara biasa dan itulah pengorbanan kalau kita nak jadi atlet negara.

“Walaupun tidak raya, saya tetap akan buat yang terbaik di sana kerana bagi saya itulah raya yang sebenar,” katanya menerusi video yang dikongsikan Olahraga Malaysia (MA) hari ini.

Sementara itu, Muhammad Naufal berkata meskipun sedih kerana ini kali pertama tidak beraya bersama keluarga, namun tetap bersemangat untuk beraksi demi mengharumkan nama Malaysia.

“Saya perlu lalui semua ini jika mahu mencapai impian saya,” katanya.

Dalam pada itu jurulatih lompat bergalah negara, Roslinda Samsu percaya situasi berkenaan tidak akan mengganggu persembahan anak buahnya memandangkan kesemua yang terlibat sudah mengetahui berkenaan pertandingan itu sejak Disember tahun lepas.

“Bagi saya tiada masalah dari segi mental kerana mereka memang berhasrat untuk sertai kejohanan ini dan bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan