KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Atlet lompat bergalah negara Nor Sarah Adi tekad kembali mendapatkan rentak terbaik dan menyamai catatan peribadi (PB) pada Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa Taiwan 2026 serta Kejohanan Jemputan Lompat Bergalah Nantou-Sun Moon Lake dari 22 hingga 25 Mac.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi itu berkata kejohanan di Taiwan medan penting memulakan musim 2026, selain pengalaman pertamanya mengharungi pertandingan dalam dan luar dewan dalam satu siri kejohanan.
“Saya tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Fokus saya untuk dapatkan semula PB dan lihat keseimbangan larian serta teknik dan dari situ, kita akan membuat perancangan untuk kejohanan akan datang," katanya menerusi video dikongsikan Olahraga Malaysia baru-baru ini
Untuk rekod, catatan peribadi terbaik Nor Sarah dalam acara lompat bergalah ialah 4.05 meter pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Sementara itu, jurulatih lompat bergalah negara Roslinda Samsu berkata tidak meletakkan sebarang sasaran kepada empat atlet negara yang beraksi buat kali pertama pada musim ini.
Beliau berharap semua anak buahnya dapat memberikan aksi yang terbaik pada kejohanan itu selain cuba untuk menyamai PB masing-masing.
Selain Nor Sarah, atlet negara pada kejohanan itu ialah Muhammad Naufal Shahrul Afzam, Muhammad Hafidzul Ain dan Noor Shahreen Jamizan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial