Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Skuad Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) lelaki negara dijangka menggunakan sepenuhnya khidmat jurulatih tempatan bagi mengharungi kejohanan yang disertai mereka tahun ini termasuk pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al-Amin Saharuddin berkata keputusan itu adalah langkah peralihan kepakaran tenaga tempatan yang dilihat sama hebat seperti yang dimiliki jurulatih luar negara.
“Sebelum ini, untuk jurulatih kami memang pakai khidmat luar tetapi penolong jurulatih itu masih tenaga tempatan. Kemungkinan kami akan angkat penolong jurulatih sebagai ketua jurulatih.
“Itu antara peralihan yang kami mahu buat dan kami juga mahu kekalkan momentum yang diraih pasukan sebelum ini,” katanya kepada Bernama
Terdahulu, media melaporkan Filipina berjaya mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih skuad MLBB negara Michael Bocadio (Arcadia) bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2026 bersama-sama Paul Miranda (Yeb) dan Francis Glindro.
Dalam pada itu, Muhammad Naim turut memaklumkan skuad MLBB diletakkan dalam program berfasa Majlis Sukan Negara (MSN) manakala skuad wanita dalam Program Podium separuh masa tahun ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat memandangkan kesemua pemain MLBB negara mempunyai komitmen bersama pasukan masing-masing.
Pasukan MLBB lelaki negara mengharungi musim yang cemerlang tahun lepas apabila berjaya menjadi juara pada Kejohanan Dunia e-Sukan IESF 2025 dan memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Pasukan wanita negara juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya meraih emas bagi judul permainan berkenaan pada temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial