SUKAN > BERITA

AMBIL IKTIBAR KEJATUHAN RANKING HARIMAU MALAYA, TERUS PERKASA BOLA SEPAK TANAH AIR

24/03/2026 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa semua pihak agar mengambil iktibar daripada kejatuhan ranking secara mendadak dialami Harimau Malaya yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah-langkah wajar perlu diambil, termasuk memperkasakan bola sepak tanah air bagi mengelak situasi itu daripada berulang pada masa akan datang.

“Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini.

“Di pihak KBS, kami tetap berpendirian untuk tidak campur tangan dalam pengurusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). KBS melalui MSN (Majlis Sukan Negara) akan terus mengutamakan peranan memperkasa dan membangunkan bakat bola sepak tempatan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), bersama-sama FAM selaku rakan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan ranking terbaharu FIFA, skuad bola sepak lelaki kebangsaan merosot 14 anak tangga, turun daripada kedudukan ke-121 ke tempat ke-135 dengan mengumpul 1,095.90 mata.

Dr Mohammed Taufiq berkata KBS juga akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan FAM untuk mendapatkan maklum balas mengenai strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking itu.

Biarpun merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan, beliau berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mengenal pasti, melaksanakan reformasi dalaman yang perlu dan mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinan baharu.

Penurunan ranking Harimau Malaya boleh dianggap antara terburuk selepas 2006 yang menyaksikan mereka tergelincir 19 anak tangga daripada kedudukan ke-127 ke tempat ke-146.

Kejatuhan ketara itu berpunca daripada hukuman berat yang dikenakan FIFA berikutan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang tidak sah, iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Terdahulu, FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan lawan.

Situasi menjadi semakin parah apabila AFC turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 ketika menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain terbabit.

Keputusan AFC yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan itu bukan sahaja merentap mata ranking negara, malah mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan