SUKAN > BERITA

WAN ARIF SASAR KEDUDUKAN PODIUM DI BAC 2026

24/03/2026 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi menetapkan sasaran berani memburu kedudukan podium pada Kejohanan Badminton Asia 2026 di Ningbo, China, dijadual berlangsung dari 7 hingga  12 April ini.

Wan Arif berkata beliau dan pasangannya Yap Roy King ketika ini perlu lebih konsisten terutamanya dalam menghadapi saat-saat genting mengejar mata kritikal dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka dapat melangkah lebih jauh pada saingan BAC 2026 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

“Kita target podium atau sekurang-kurangnya mara ke suku akhir kerana kami belum lagi mara sejauh itu tahun ini selain dapat upset pasangan top 10,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini hari ini.

Kali terakhir pasangan ranking ke-16 dunia mara ke suku akhir adalah pada saingan Kumamoto Masters Japan 2025 November lepas.

Gelaran terakhir dimenangi Wan Arif-Roy King ialah Terbuka Macau 2025 pada Ogos lepas, menumpaskan pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 22-20, 21-18.

Wan Arif pada masa sama juga enggan memikirkan perebutan slot ke Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dijadual berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.

“Perkara itu (Piala Thomas 2026) kita tidak mahu fikir sangat kerana jika fikir banyak, tidak boleh main. Kita hanya fikir untuk BAC nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Arif mengakui dirinya berasa lebih segar selepas kembali dari cuti singkat untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta di Terengganu, baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan