Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) --Sebaik diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari berazam membawa kementerian diterajuinya ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.
Dilantik dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata bagi membalas kepercayaan diberikan, satu pendekatan berteraskan mentaliti ‘JUARA’ diperkenalkan bagi memperkasa pembangunan sukan dan belia di negara ini.
Beliau berkata, ‘JUARA’ merujuk kepada jati diri (J), unggul (U), aktif (A), relevan dan responsif (R) serta agresif (A).
“‘U’ adalah unggul, iaitu kita mesti mengungguli setiap temasya yang disertai. ‘A’ pula aktif, dengan usaha melahirkan lebih ramai anak muda yang aktif bersukan serta menyertai program kepimpinan.
“Kemudian, ‘R’ iaitu relevan dan responsif, bermakna anak muda perlu relevan dengan peredaran masa serta responsif terhadap isu semasa, manakala sukan negara juga perlu berada di peringkat dunia. ‘A’ seterusnya ialah agresif, dengan kita bergerak secara pantas, proaktif dan agresif,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sering dianggap sebagai kementerian kecil, peranannya amat signifikan dalam menentukan masa depan serta hala tuju negara.
“Pada pandangan saya , ini adalah satu kementerian yang amat penting berbanding kementerian lain. Inilah kementerian yang menentukan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata portfolio belia yang digalas kementerian itu amat kritikal memandangkan golongan muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Selain itu, katanya sektor sukan juga merupakan aset penting serta kebanggaan negara.
Dr Mohammed Taufiq berkata melalui platform sukan, kebajikan atlet dapat terus dipelihara, sekali gus membolehkan mereka mencapai kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Katanya sukan memiliki kuasa tersendiri dalam menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Mengimbau pelantikannya pada 16 Dis tahun lepas, beliau mendedahkan ia merupakan satu kejutan kerana berlaku dalam tempoh yang amat singkat sebelum pengumuman rasmi barisan Kabinet baharu.
“Saya menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira dua jam sebelum pengumuman rombakan Kabinet dibuat.
“Ketika itu saya berada di Sungai Petani sebelum diminta segera ke Kuala Lumpur bagi urusan mengangkat sumpah keesokan harinya,” katanya.
Dalam rombakan Kabinet itu, Dr Mohammed Taufiq menggantikan Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial