KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Bekas pemain beregu wanita negara Lee Meng Yean kini mengorak langkah baharu dalam pembangunan akar umbi badminton tanah air menerusi penubuhan akademi yang memfokuskan pembangunan pemain muda daripada peringkat asas.
Beliau yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 bergandingan dengan Chow Mei Kuan berkata akademi itu bertujuan membina dan mengasah bakat pemain daripada usia muda sebelum disalurkan ke peringkat negeri dan seterusnya ke tahap lebih tinggi.
“Program ini bukan sahaja membantu perkembangan pemain muda, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan badminton negara secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Media Future Champs Badminton Academy di Kepong Sports A Plus 4 Badminton Center di sini, hari ini.
Akademi yang beroperasi kira-kira empat bulan lepas, kini mempunyai kira-kira 50 pelajar.
Meng Yean mengakui pengalaman sebagai pemain kebangsaan serta beraksi di pentas Olimpik menjadi pendorong utama untuk beliau kembali menyumbang kepada sukan badminton negara, khususnya dalam melahirkan generasi pelapis.
“Saya pernah menjadi pemain kebangsaan dan beraksi di Olimpik, namun tidak berjaya meraih pingat. Jadi, saya berharap dapat membantu pemain muda mencapai sasaran tersebut.
“Itu impian saya dan saya yakin mampu membantu mereka mencapainya,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya peluang skuad negara pada kempen Piala Uber 2026, Meng Yean berpandangan pasukan yang dibarisi majoriti pemain muda tidak wajar dibebani tekanan berlebihan, sebaliknya perlu dinilai dari sudut pendedahan serta pengalaman berharga yang mampu diraih.
Piala Uber 2026 dijadual berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April sehingga 3 Mei.
Skuad wanita negara yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara enam kali Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan dalam misi mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak edisi 2010.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial