SUKAN > BERITA

NSL JADI MEDAN PEMILIHAN BAKAT BOLA JARING MENUJU SUKAN SEA 2027

01/04/2026 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Liga Super Bola Jaring Kebangsaan (NSL) terus menjadi medan penting bagi Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dalam mengenal pasti dan menilai bakat terbaik negara bagi membentuk skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air.

Presiden PBJM Alwiyah Talib berkata pemilihan pemain tidak hanya bergantung kepada pandangan jurulatih semata-mata, sebaliknya melibatkan panel penilai yang ditugaskan memantau prestasi pemain dalam pelbagai kejohanan sepanjang tahun.

“Apabila ada kejohanan seperti NSL dan kejohanan lain yang dianjurkan PBJM, inilah masanya untuk kami mencari pemain yang benar-benar berpotensi. Kami ambil yang terbaik sahaja, bukan soal pilih kasih atau kronisme,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran NSL di Studio Astro, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Beliau berkata antara kejohanan yang menjadi penanda aras pencarian atlet ke Sukan SEA 2027 ialah Kejohanan Remaja Kebangsaan, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) serta NSL sendiri, yang dilihat sebagai saluran berterusan untuk membina senarai panjang pemain sebelum disenarai pendek kepada skuad akhir.

“Kami sudah ada senarai panjang pemain dan pencarian ini akan diteruskan sehingga benar-benar mendapat kombinasi terbaik. Akhirnya nanti, kami akan pilih sekitar 12 pemain sahaja untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Alwiyah berkata edisi kelima NSL yang akan berlangsung dari 10 April hingga 17 Mei ini menampilkan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan kualiti permainan serta menambah elemen taktikal, termasuk pengenalan peraturan super shot buat kali pertama dalam liga domestik.

Katanya menerusi peraturan tersebut, jaringan yang dilakukan dari kawasan khas di luar garisan tertentu dalam tempoh lima minit terakhir permainan akan diberikan dua mata, berbanding satu mata seperti biasa.

“Inovasi ini banyak digunakan di liga luar negara seperti di Australia. Ia bukan sahaja menambah keterujaan permainan, malah memberi peluang kepada pasukan yang ketinggalan untuk merapatkan jurang mata pada saat-saat akhir,” katanya.

Selain itu, NSL musim ini turut memperkenalkan aksi pramusim serta penganjuran ‘Original Cup’ yang akan berlangsung beberapa hari selepas tamat saingan liga, sebagai usaha memperluas pendedahan dan masa bermain kepada pemain tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan